Monday, December 15, 2008

Biografi Suratman Markasan

Suratman Markasan merupakan seorang penyair, cerpenis dan novelis. Beliau juga telah menulis banyak kertas kerja berhubungan dengan sastera, bahasa dan seni budaya di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Suratman telah memerima pelbagai anugerah sastera sepanjang penglibatan beliau di dalam bidang persuratan.

Suratman dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 29 Disember 1930. Selepas menamatkan pengajian beliau di Sultan Idris Training College di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1950, beliau mula mengajar di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Singapura.

Suratman menyambung pelajaran beliau di Universiti Nanyang pada tahun 1968 dan berjaya meraih Sarjana Muda Sastera dalam pengajian Melayu dan Indonesia. Pada tahun 1976, beliau telah dilantik menjadi Inspektor Pakar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Kementerian Pendidikan Singapura dan kemudiannya Penolong Pengarah Pengajian Melayu dan Tamil pada tahun 1980. Suratman juga pernah menjadi pensyarah bahasa dan sastera Melayu di Institut Pendidikan Singapura.

Suratman mula menulis di dalam berbagai media cetak sejak awal 1950-an. Kegigihan beliau meluahkan tenaga dan fikiran demi kesuburan pengucapan bahasa dan sastera bangsa telah menyaksikan beliau berjaya menyelenggarakan antologi cerpen "Temasik" dan antologi sajak "Tiga Warna Bertemu". Kedua-dua antologi ini merupakan buku-buku Singapura yang pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Suratman juga merupakan penulis Singapura yang pertama menjadi penulis tamu Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991.

Suratman mendukung konsep bahawa sastera itu sebagai satu ibadah dan melalui karya-karya beliau, memaparkan kebenaran dan realiti kehidupan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat akan persoalan-persoalan yang perlu ditangani.

Selain daripada tugas beliau sebagai seorang pendidik, Suratman juga giat dalam aktiviti-aktiviti persuratan, sastera, bahasa dan budaya melalui persatuan-persatuan yang disertai beliau. Beliau telah memegang berbagai jawatan penting di dalam persatuan-persatuan tersebut, umpamanya, Ketua 1 Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) di antara tahun 1974 hingga 1994, Yang Dipertua Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (1982-1984), Pengerusi Jawatankuasa Hadiah Sastera (1979-1985).

Suratman juga pernah menjadi editor bagi "Majalah Sasterawan" (1971-1973), "Majalah Sekata" (1984-1988), "Warita Suara" terbitan Mendaki (1985-1987), "Warita" terbitan MUIS (1989-1992), "Ikhwan Darussalam" (1993-1996) dan "Khalifah Muda" (1998).

Suratman juga telah mengambil bahagian dalam acara-acara membaca puisi termasuk di Osaka, London, Paris, Jerman, San Francisco dan Ohio.

No comments: