Thursday, August 12, 2010

Konsert Hari Kebangsaan 2010

Pada 6 haribulan Ogos 2010, Sekolah Menengah Dunearn telah mengadakan konsert HariKebangsaan di sekolah.Acara pada hari yang bersejarah itu turut dimeriahkan dengan acara berbilang budaya termasuklah bacaan sajak oleh Amirul Mukim dengan sajak Dirgahayu Singapura.Syabas kepada Amirul Mukmin yang berjaya mendeklamasikan sajak ciptaan Stephanie Halim dari kelas 4 Amber.

Wednesday, August 11, 2010

Malam Puisi 2010

Baru-baru ini Kumpulan Sokongan Sastera telah mengadakan Malam Puisi di Black Box Sekolah Menenengah Yusof Ishak.Sekolah Menengah Dunearn turut mengambil bahagian dengan acara deklamasi sajak Janjiku oleh Amirul Mukmin dari kelas 4 Amber.Amirul turut diiringi dengan 4 penari latar.Persembahan yang memukau itu telah mendapat pujian dan sokongan gemuruh dari sekolah-sekloah yang hadir.Syabas diucapkan kepada Amirul dan penari-penari di atas kejayaan mereka memberikan nafas baru kepada persembahan deklamasi sajak.

Saturday, January 30, 2010

Mukadimmah

Assalamualaikum wr. wbh
Selamat Sejahtera guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,

Segala puji-pujian dan lafaz kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya blog Eksplorasi Sastera...Dunearn muncul buat pertama kalinya. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Dunaern atas segala daya usaha dan komitmen yang ditunjukkan untuk menghasilkan blog yang sensasi lagi berinformasi ini.

Seperti yang diketahui, kita sekarang berada dalam era ledakan maklumat. Maka, amatlah perlu bagi kita untuk melihat jauh ke depan dan menyesuaikan diri kita dengan perubahan-perubahan radikal yang dibawa oleh era siber, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab.

Perubahan dalam arena pendidikan menuntut perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' yang perlu menjadi amalan budaya setiap pelajar.

Kewujudan blog Eksplorasi Kreatif...Dunearn merupakan satu usaha untuk memaparkan aktiviti kesusasteraan dan karya-karya sastera pelajar Dunearn dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan melestarikan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dari itu, saya berharap blog ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai pemangkin bagi para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka, malah menggalakkan para pelajar mencintai kesusasteraan Melayu.

Blog ini dihasilkan bukan sekadar medan mengasah bakat berkarya, malah lebih dari itu. Di samping menggalakkan para pelajar menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu, ia juga menjadi media bagi para pelajar melahirkan idea serta daya fikir yang dapat membina pemikiran serta perkembangan kematangan pelajar. Secara tidak langsung, ia juga mencerminkan pandangan dunia pelajar secara menyeluruh untuk dihayati oleh masyarakat Dunearn. Semoga segala usaha yang murni ini berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan generasi intelektual yang mempunyai misi dan visi yang berwibawa dan bertanggungjawab.

Akhir sekali, saya mengalu-alukan kemunculan blog ini. Semoga kita dapat mengekalkan tradisi kecemerlangan dan keunggulan berkarya yang sudah lama diterajui. Mudah-mudahan, usaha yang kecil ini dapat dijadikan asas kepada kita untuk melangkah kehadapan dalam membina kecemerlangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Akhir kata, terimalah blog ini dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Sekian. Terima kasih dan Selamat Maju Jaya !

Cikgu Supandi Bin Djoeraemi
Ketua Jabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Menengah Dunearn

“Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang gemar berfikiran”.(Abdullah Abbas)

Pusaran, Bukti Haiwan dan Manusia Saling Memerlukan

Kalau ada orang mengatakan bahawa anak saya kembar dengan haiwan sudah pasti orang itu akan menjadi sasaran penangan saya yang kuat ini. Mana boleh manusia disamakan dengan haiwan? Itulah antara persoalan yang begitu ketara dalam Cerpen Pusaran. Saya sendiri meminati cerita ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan penuh dengan imbasan zaman kanak-kanak saya.


Dalam cerpen ini konsep percaya amalan karut masih tebal dalam pemikiran masyarakat kita terutama orang Melayu. Apabila Pak cik Kar mengatakan bahawa Junid dan Pusaran kembar, masyarakat kampung mula mempercayainya. Kita harus sedar kepercayaan yang menebal ini berpunca daripada amalan mempercayai bomoh sebagai sebahagian pemimpin masyarakat Melayu. Malah, bomoh sudah menjadi sebahagian budaya orang Melayu itu sendiri. Bomoh juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur yang tidak dapat difikirkan oleh minda saintifik dan penyakit-penyakit ganjil yang dialami oleh seseorang itu.


Dalam cerpen ini kepentingan amalan agama turut digambarkan melalui upacara korban yang diamalkan oleh penduduk kampung. Korban pada masyarakat Melayu dikaitkan dengan rasa syukur atas nikmat Tuhan. Korban juga menjadi tanda kerjasama antara masyarakat. Korban juga merupakan sebahagian konsep memberi kepada yang memerlukan.


Pelajar harus memikirkan sebab Mohsin tidak membenarkan anaknya belajar lebih daripada Darjah Enam? Antaranya Mohsin mahu mereka bekerja di kebun kelapanya, sawah padinya atau menjaga ternakannya. Mohsin juga menganggap ilmu itu cukup setakat tahu membaca, mengira, dan menulis. Mungkin ini konsep minda orang kampung terhadap pentingnya pendidikan itu. Hanya cukup makan sahaja.


Namun, kalau dikaji lebih mendalam, Mohsin lambang petani berjaya kerana mempunyai kebun kelapa, sawah padi, dan ternakan. Malah, dia mampu mengorbankan haiwan turut menjadi bukti betapa berjayanya hidup beliau di kampung itu. Beliau bukan sahaja rajin tetapi pandai menguruskan “perniagaannya” dengan berkesan sekali. Usah lupa juga, Mohsin penyayang kerana sanggup membatalkan upacara korban itu setelah diberi nasihat oleh lebai kampung itu dan melihat kesungguhan Junid merayu.


Junid dan Pusaran digambarkan sebagai makhluk Tuhan yang berbeza tetapi saling memerlukan. Mereka pernah cuba dipisahkan oleh Mohsin tetapi gagal. Junid demam manakala Pusaran tidak “galak” iaitu tidak cergas dan tiada selera makan. Keakraban ini seolah-olah membuktikan kata-kata Pak cik Kar itu.


Mungkin cerpen ini cuba membawa pelajar memahami erti hubungan luar tabii yang jarang-jarang kita lihat iaitu manusia dan haiwan mampu hidup bersama. Kita memerlukan haiwan itu satu kenyataan tetapi hakikatnya haiwan tidak memerlukan kita untuk mereka hidup. Jadi, manusia harus menghormati haiwan lebih bermakna. Kita tidak seharusnya melihat haiwan sebelah mata tetapi menganggap mereka ciptaan Tuhan yang perlu diberi pertimbangan seperti manusia biasa.

Sinopsisi Cerpen Lambaian Malar Hijau

Cerpen ini mengisahkan tentang seorang anak orang asli yang bernama Daneng.Dia merupakan seorang pelajar yang pintar dalam bidang akademik tetapi dia tidak ingin meneruskan pelajarannya ke tingkatan 4 walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).Cikgu Jo yang merupakan guru Daneng sanggup meredah hutan belantara untuk menemui Daneng hanya untuk satu tujuan iaitu memujuk Daneng agar kembali bersekolah.Akan tetapi,Daneng tetap dengan pendiriannya untuk menjaga warisan nenek moyangnya.Akhirnya Cikgu berjaya memujuk Daneng dengan memberi pelbagai alasan yang kukuh yang tidak dapat lagi disangkal oleh Daneng.Selepas 25 tahun kemudian,Daneng telah berjaya mencapai cita-citanya dan mendapat gelaran Datuk.Dia juga menerima Hadiah Nobel kerana usahanya menyelamatkan hutan balantara dan turut diberikan kepercayaan oleh kerajaan Brazil untuk memulihkan hutan di Lembangan Amazon tetapi dia tidak pernah melupakan jasa yang telah Cikgu Jo curahkan padanya.

Tema dan Persoalan Lambaian Malar Hijau

Tema
Cerpen ini bertemakan tentang perasaan cinta akan alam sekitar.Daneng sanggup meninggalkan alam persekolahannya agar dia boleh memelihara hutan belantara yang merupakan warisan tinggalan nenek moyangnya.Dia tidak rela melihat hutan tersebut dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Persoalan

Kesedaran tentang kepentingan pendidikan

Pengarang telah mengutarakan isu pendidikan dalam kalangan remaja orang asli di negara ini.Kebanyakan mereka belajar setakat PMR kerana ketika menimba ilmu,mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan.
Dalam cerpen ini, Daneng ditonjolkan sebagai remaja yang bijak namun enggan meneruskan persekolahannya.Daneng lebih bahagia dengan alam yang penuh dengan ketenangan,keindahan dan keasyikan yang telah menemaninya membesar.
Watak Cikgu Jo juga digambarkan sebagai seorang yang tidak mudah putus asa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan ilmu.

Kekayaan flora dan fauna

Cerpen ini menonjolkan keindahan flora dan fauna negara ini.Pengarang menggambarkan hutan yang dihuni oleh orang asli itu sangat indah,tenang dan mengasyikkan dengan pelbagai jenis pokok dan bunyi serangga dengan kicauan burung yang mempersonakan.

Sikap tamak manusia

Secara tidak langsung pengarang telah menyentuh persoalan ini.Kegiatan pembalakan haram berlaku secara berleluasa di hutan tempat tinggal orang asli.Pembalak haram ini tidak peduli akan kepupusan flora dan fauna kerana didorong oleh sikap tamak haloba.

Kehidupan orang asli

Melalui cerpen ini,pengarang menyuluh kehidupan lahiriah dan batiniah orang asli.Orang asli bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan.Mereka selesa dengan kehidupan yang sederhana,tidak terburu-buru mengejar masa,tidak sibuk,aman dan tenang.Oleh sebab diulit kehidupan sedemikian,mereka tidak mengambil kisak tentang kepentingan ilmu.
Golongan ini juga masih berpegang dengan kepercayaan animisme dan berpegang kuat dengan pelbagai pantang larang.Ini dapat dilihat melalui watak Daneng yang berpesan kepada gurunya agar mengikut pantang larang tertentu ketika berada di hutan.

Latar Lambaian Malar Hijau

Latar Masa

Cerpen ini berlangsung dalam jangka masa satu hari sahaja (dari pagi hingga ke petang). Pengarang menggunakan teknik imbas kembali untuk mengimbas kembali peristiwa yang berlaku 25 tahun yang lalu untuk menggerakkan cerita.
Latar Tempat
Perkampungan orang asli di Lembah Tualang yang menjadi tempat tinggal Daneng. Pada akhir cerita,Lembah Tualang dimajukan dan telah ditukar namanya kepada Dataran Tualang.
Latar Masyarakat
Cerpen ini mengambil latar masyarakat orang Asli yang ditonjolkan melalui watak Daneng.Masyarakan orang Asli hidup sederhana di dalam pondok dan mempercayai pelbagai kepercayaan dan pantang larang.