Friday, January 29, 2010

Ulasan Cerpen Menatap Wajahnya (Anak Laut, halaman 67)

Seringkali cerpen-cerpen yang bertemakan pengorbanan menyingkap isu tersebut melalui watak-watak yang mempunyai pertalian darah. Namun, cerpen ‘Menatap Wajahnya’ karya Siti Hajar Mohd. Zaki menyelam isu pengorbanan melalui pendekatan yang berbeza. Watak penyelamat dalam cerpen ini tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan insan yang dibantunya. Dalam cerpen ini, penulis telah menyingkap pengorbanan seorang guru, Cikgu Balkis, melalui sudut pandangan anak muridnya iaitu Muliati.
Cerpen yang terkandung dalam antologi ‘Anak Laut’ ini merupakan salah satu cerpen yang turut digunakan dalam pembelajaran Sastera Melayu peringkat GCE ‘O’. Sebagai teks pembelajaran sastera, cerpen ini mempunyai beberapa kekuatan tersendiri. Jalan cerita ‘Menatap Wajahnya’ diwarnai teknik imbas kembali dan disulam penulis agar menjadi satu jalan cerita yang mudah difahami. Namun, penulis juga berjaya memastikan isi cerpen ini berkesan dalam menyampaikan amanat yang terselindung; manusia tidak harus menjadikan kekurangan diri sebagai satu halangan dalam hidup.
Penggunaan bahasa yang indah turut mendukung tema pengorbanan seorang guru terhadap anak didiknya seperti yang dapat dilihat dalam petikan ayat di atas. Selain itu penggunaan metafora seperti “memenjarakan keyakinanku” (halaman 65) berupaya menggambarkan bagaimana Cikgu Balkis memastikan Muliati tidak pernah patah semangat atau terlalu kerap membenarkan ‘manik putih menempias di pipi” (halaman 61) apabila berhadapan dengan kekecewaan.
Sebagai seorang guru yang berdedikasi, Cikgu Balkis banyak memberikan semangat kepada Muliati yang bak jatuh ditimpa tangga. Muliati telah kehilangan seluruh keluarganya dalam satu kemalangan jalan raya ketika di tingkatan dua dan di tingkatan lima pula, Muliati telah menjadi cacat dan tangan kirinya pula kudung akibat terjatuh dalam satu gaung yang curam semasa ekspedisi Kelab Kembara sekolahnya. Cikgu Balkis, guru kelas Muliati ketika di tingkatan dua, telah membantu menyara persekolahan Muliati serta membenarkan Muliati menumpang kasihnya memandangkan Cikgu Balkis sendiri masih belum dikurniakan cahaya mata. Sayangnya, setelah Muliati melanjutkan pelajaran di universiti, Cikgu Balkis semakin menjauhkan diri. Alasannya bahawa suami Cikgu Balkis inginkan beliau memberi lebih tumpuan kepada anak mereka ternyata hanya satu helah. Di hujung cerita Muliati mendapat tahu sebab sebenar Cikgu Balkis menjauhkan diri; bahawa Cikgu Balkis sendiri menderita satu penyakit yang ganjil selama bertahun-tahun dan kini sedang menjalankan rawatan di London.

No comments: