Saturday, January 30, 2010

Mukadimmah

Assalamualaikum wr. wbh
Selamat Sejahtera guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,

Segala puji-pujian dan lafaz kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya blog Eksplorasi Sastera...Dunearn muncul buat pertama kalinya. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Dunaern atas segala daya usaha dan komitmen yang ditunjukkan untuk menghasilkan blog yang sensasi lagi berinformasi ini.

Seperti yang diketahui, kita sekarang berada dalam era ledakan maklumat. Maka, amatlah perlu bagi kita untuk melihat jauh ke depan dan menyesuaikan diri kita dengan perubahan-perubahan radikal yang dibawa oleh era siber, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping berakhlak dan beradab.

Perubahan dalam arena pendidikan menuntut perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' yang perlu menjadi amalan budaya setiap pelajar.

Kewujudan blog Eksplorasi Kreatif...Dunearn merupakan satu usaha untuk memaparkan aktiviti kesusasteraan dan karya-karya sastera pelajar Dunearn dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan melestarikan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dari itu, saya berharap blog ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai pemangkin bagi para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka, malah menggalakkan para pelajar mencintai kesusasteraan Melayu.

Blog ini dihasilkan bukan sekadar medan mengasah bakat berkarya, malah lebih dari itu. Di samping menggalakkan para pelajar menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu, ia juga menjadi media bagi para pelajar melahirkan idea serta daya fikir yang dapat membina pemikiran serta perkembangan kematangan pelajar. Secara tidak langsung, ia juga mencerminkan pandangan dunia pelajar secara menyeluruh untuk dihayati oleh masyarakat Dunearn. Semoga segala usaha yang murni ini berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan generasi intelektual yang mempunyai misi dan visi yang berwibawa dan bertanggungjawab.

Akhir sekali, saya mengalu-alukan kemunculan blog ini. Semoga kita dapat mengekalkan tradisi kecemerlangan dan keunggulan berkarya yang sudah lama diterajui. Mudah-mudahan, usaha yang kecil ini dapat dijadikan asas kepada kita untuk melangkah kehadapan dalam membina kecemerlangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Akhir kata, terimalah blog ini dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Sekian. Terima kasih dan Selamat Maju Jaya !

Cikgu Supandi Bin Djoeraemi
Ketua Jabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Menengah Dunearn

“Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang gemar berfikiran”.(Abdullah Abbas)

No comments: